Wednesday, June 23, 2010

Memanfaatkan peranan ibu bapa di dalam peningkatan pengintegrasian ICT di sekolah


SAMBUTAN Hari Guru tahun ini seperti lazimnya, tidak kurang hebatnya. Saya berpeluang untuk turut serta dalam sambutan tahun ini yang diadakan dengan jayanya di Kuantan, Pahang menerusi pameran sekolah bestari.

Di pameran tersebut, kami telah mempamerkan hasil penarafan sekolah-sekolah di Pahang berdasarkan piawaian kelayakan sekolah bestari (Smart School Qualification Standards, SSQS), dan perisian berasaskan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

Berdasarkan pemerhatian saya selama tiga hari saya berinteraksi bersama ibu bapa di tapak pameran tersebut, terdapat dua perkara utama yang boleh dijadikan panduan untuk pihak pentadbir sekolah dan guru-guru meningkatkan keyakinan serta penglibatan ibu bapa. Pihak sekolah wajar meneliti dan mengatur langkah strategik berdasarkan pemerhatian ini ke arah peningkatan prestasi sekolah.

Perkara pertama yang amat memberansangkan saya ialah kesedaran ibu bapa terhadap peranan ICT di dalam memperkayakan pengalaman pembelajaran anak-anak. Ibu bapa dilihat memberi galakkan dan tunjuk ajar kepada anak-anak untuk mencuba perisian yang dipamerkan.

Ini bermaksud ibu bapa mempunyai keyakinan serta pengetahuan tentang peranan ICT di dalam membantu anak-anak meningkatkan daya pembelajaran. Maka, peranan guru wajar membuktikan kesinambungan di antara keyakinan dan kepekaan ibu bapa dengan kemahiran guru untuk memperkayakan aktiviti pembelajaran menerusi pengintegrasian ICT.

Guru-guru telah pun terlatih untuk menggunakan ICT. Kini kemahiran tersebut haruslah digunakan untuk mengintegrasikan ICT dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran (P&P).

Jika kemahiran pengintegrasian kurang, pihak sekolah wajar mengadakan sesi peningkatan kemahiran. Hal ini boleh diadakan secara tidak formal berdasarkan perkongsian amalan terbaik oleh guru-guru yang lebih berpengalaman.

Perkara kedua yang diperhatikan ialah keprihatinan ibu bapa terhadap tahap pembudayaan pengintegrasian ICT sekolah hasil dari penarafan 1 hingga 5 bintang berdasarkan piawaian kelayakan sekolah bestari. Ibu bapa begitu berminat untuk mengetahui prestasi sekolah anak masing-masing dari segi pengintegrasian ICT.

Soalan-soalan yang diajukan membuktikan kesediaan ibu bapa untuk mendorong dan menyokong pihak sekolah dalam usaha untuk mempertingkat pengayaan penyampaian pembelajaran dan pengajaran menggunakan ICT.

Oleh itu pihak sekolah perlu membangunkan strategi untuk melibatkan ibu bapa dalam aktiviti berteraskan ICT. Ini tidak harus tertumpu pada meminta bantuan kewangan untuk membeli peralatan komputer sahaja. Dua contoh tindakan yang boleh diatur oleh pihak sekolah.

Pihak sekolah boleh mengadakan aktiviti untuk menghuraikan pelan pengintegrasian ICT sekolah kepada ibu bapa. Ini boleh memberi kefahaman yang mendalam tentang pendekatan pedagogi menggunakan ICT yang akan digunakan oleh guru-guru.

Justeru, ibu bapa boleh memberi sokongan yang lebih bermakna sama ada kepada pihak sekolah atau pun di rumah bersama anak-anak.

Selain itu, pihak sekolah juga boleh meminta sokongan ibu bapa bertujuan meningkatkan kemahiran guru-guru untuk mengintegrasikan ICT. Malah, ada amalan terbaik di mana Ibu bapa memberi sokongan dari segi mendapatkan kepakaran yang diperlukan.

Jelas sekali, pihak sekolah tidak boleh lagi member alasan yang ibu bapa tidak menyokong peggunaan ICT di sekolah, Malah, pihak sekolah harus membuktikan innovasi pendekatan penyampaian P&P menggunakan ICT di mana berpatutan. Dengan begini, maka sejajarlah perkembangan guru dengan tema Hari Guru tahun ini iaitu Guru Pembina Negara Bangsa.

No comments: