Friday, May 16, 2008

JANGAN LUPA JASA GURU...SELAMAT HARI GURU 2008

Jangan lupa jasa guru
Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa,
Jika hari ini seorang raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis, baca.

(Dipetik dari sajak Guru Oh Guru karya Allahyarham Usman Awang)

demikianlah sajak yang selalu dideklamasikan setiap kali menjelangnya Hari Guru. Guru-guru merasakan seperti raja dan permaisuri pada Hari Guru ini yang mana murid dan pelajar akan menghiburkan mereka dengan bermacam-macam program dan aktiviti seperti Anugerah Guru Misali, Cemerlang, Dedikasi dan sebagainya.

Ada juga yang membuat persembahan nyanyian, deklamasi sajak hatta berdikir barat, dan pastinya satu bait yang wajib dilafazkan iaitu "umpama lilin membakar diri" yang mana maksudnya sudi untuk memberi ilmu walau penat dan lelah .

Kita sedia maklum bahawa nilai seorang guru jika dibandingkan dengan ribuan gunung emas pasti tidak boleh menandinginya. Ramai yang hanya menganggap kerja sebagai seorang guru ini hanyalah sebagai kerja yang rendah tarafnya dari menjadi seorang peguam, arkitek dan doktor. Tetapi harus diingat daripada sajak Guru Oh Guru karya Usman Awang menunjukkan semua yang lahir di dunia dengan segala macam profesion adalah hasil didikan seorang guru.

Tertarik dengan perutusan oleh Dato' Sri Hishammuddin Tun Hussein, Menteri Pelajaran Malaysia yang mana menyatakan agenda kementerian bukan hanya menghasilkan guru yang berkualiti tetapi lebih dari itu. Selain itu untuk mengembalikan penghormatan terhadap profesion keguruan iaitu isu disiplin pelajar akan ditangani.

Mahasiswa memandang beberapa rancangan lain untuk meningkatkan profesion keguruan haruslah dipuji, dan mahasiswa sendiri sentiasa memberi galakan dan dorongan kepada pihak kementerian serta guru-guru agar profesion ini dipandang tinggi dan dihormati masyarakat.

Selamat Hari Guru untuk semua guru-guru di mana jua anda berada. Jika hanya tinggal batu nisanmu wahai guru, bacaan Fatihah kami kirimkan.

Al-Fatihah.

DIPETIK DARIPADA
ZULZAIDI MAHMOD
UTUSAN MALAYSIA 16 MEI 2008
Exco Akademik dan Intelektual, Persatuan Mahasiswa Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya.

No comments: