Thursday, April 24, 2008

Mana satu telefon anda?

Mana satu telefon anda?

Oleh KHAIRUL ANUAR ABD. RAHMAN

Masih mencari-cari telefon yang anda mahukan? Bacalah artikel ini.



KEBANYAKAN telefon mampu memainkan lagu, namun telefon yang mempunyai pemain muzik khusus didatangkan dengan beberapa ciri tambahan.

--------------------------------------------------------------------------------


HARI ini, keputusan untuk membeli sebuah telefon bimbit bukanlah satu tugas yang mudah. Pemilihan telefon bimbit lebih daripada sekadar memilih alat untuk membuat panggilan telefon sahaja.

Dengan gabungan ciri pemain multimedia, pembantu peribadi digital (PDA) dan kamera digital pada alat komunikasi suara tradisional, seolah-olah fungsi telefon telah jatuh ke nombor kedua berbanding fungsi tambahannya yang lain.

Sekiranya anda berkira-kira untuk membeli telefon baru, tanya pada diri sendiri: Adakah anda mencari telefon muzik, telefon berkamera atau telefon PDA? Kebanyakan telefon di pasaran mempunyai persamaan dari segi gabungan fungsinya, tetapi mengetahui telefon apa yang diinginkan memberikan perbezaannya.

Ini kerana anda memerlukan memori berkapasiti tinggi untuk telefon muzik bagi menyimpan koleksi lagu anda dan lensa beresolusi tinggi untuk telefon berkamera. Telefon PDA pula seharusnya mempunyai paparan yang besar untuk aplikasi seperti Word dan Adobe Reader.

Telefon muzik

Kebanyakan telefon mampu memainkan lagu, namun telefon yang mempunyai pemain muzik khusus didatangkan dengan beberapa ciri tambahan seperti kawalan pemain muzik yang lebih mudah, storan yang lebih besar dan bateri yang mempunyai jangka hayat lebih panjang.

Pilih sama ada anda inginkan telefon yang menyokong kad memori tambahan yang boleh dipenuhkan dengan album lagu anda mahupun memilih telefon yang mempunyai kapasiti besar bagi memenuhi kehendak hiburan anda.

Telefon seperti Sony Ericsson Walkman mempunyai ingatan sebesar 8GB yang cukup untuk menyimpan lebih daripada 2,000 judul lagu. Ini sesuatu yang lebih daripada mencukupi untuk kebanyakan penggemar muzik.

Telefon berkamera
Telefon berkamera dengan tiga megapiksel hari ini tidak lagi dianggap teknologi terkini. Sedikit hari lagi, kamera dengan resolusi lima megapiksel dianggap suatu kelaziman bagi golongan yang gemar merakamkan aksi spontan dengan telefon mereka.

Persoalannya, apakah ciri lain yang harus diambil kira selain resolusi? Sebelum membeli kamera digital, anda mungkin mahu mempertimbangkan ciri seperti ISO, flash binaan dalam, fungsi rakaman video dan imbangan putih atau white balance.

Percaya atau tidak, terdapat pengeluar telefon turut menyertakan fungsi seperti kamera digital biasa yang disebutkan ini.

Selain itu, penutup lensa merupakan sesuatu yang agak diabaikan oleh kebanyakan pengeluar telefon berkamera.

Hanya terdapat beberapa pengeluar telefon sahaja yang melengkapkan telefon mereka dengan penutup lensa atau lebih tepat lagi pelindung lensa.

Jadi, sekiranya anda seorang yang sering meletakkan telefon di merata-rata tempat atau menyimpannya di dalam beg dan bercampur dengan barangan lain, anda mungkin mahu mempertimbangkan ciri ini bagi mengelakkan lensa kamera kesayangan anda tercalar dan boleh merosakkan kualiti gambar yang diambil.

Telefon PDA
Telefon PDA dilengkapkan dengan fungsi utamanya iaitu pengurusan masa. Anda boleh meletakkan nota dan peringatan temujanji dengan klien bagi melancarkan tugas seharian anda. Sungguhpun telefon biasa hari ini turut dilengkapi dengan fungsi seakan ini, namun telefon PDA tetap menjadi pilihan golongan eksekutif dan profesional sebagai 'pembantu peribadi' mereka.

Telefon PDA hari ini tidak terbatas pada fungsi itu sahaja, malah dilengkapi dengan fungsi multimedia (yang turut menyebabkan jangka hayat bateri pendek). Terdapat juga model yang didatangkan dengan fungsi GPS, membolehkan pemiliknya menentukan kedudukan di muka bumi.

Ciri-ciri tambahan

Fungsi sokongan tambahan seperti bluetooth, 3.5G dan inframerah merupakan ciri sokongan tambahan selain yang lazim ditawarkan. Tanya diri anda sendiri sama ada anda benar-benar memerlukannya.

Kebanyakan telefon moden hari ini didatangkan dengan fungsi 3G, dan terdapat juga model yang menyokong capaian generasi 3.5. Namun fungsi seperti ini tidak akan bermakna jika tidak digunakan.



KAMERA dengan resolusi lima megapiksel dianggap lazim bagi mereka yang gemar merakamkan aksi spontan.

--------------------------------------------------------------------------------


Sekiranya anda memiliki komputer riba yang mempunyai sambungan bluetooth, anda mungkin mahu mendapatkan telefon yang mempunyai ciri ini bagi memudahkan interaksi di antara telefon dengan komputer sama ada untuk tujuan penyelarasan mahupun pemindahan fail-fail lagu.

No comments: