Friday, April 25, 2008

KIAMAT HAMPIR TIBA???

KIAMAT HAMPIR TIBA?
by muhammad pada April 16, 2008, 03:11:00 PMHari Kiamat merupakan Hari Pengakhiran bagi semua makhluk di atas muka bumi ini. Hari kiamat merupakan hari di mana semua manusia dihimpunkan dari seawal-awal kelahiran iaitu manusia semenjak zaman Nabi Adam dan Hawa hinggalah kepada manusia yang paling akhir sekali dijadikan dan dimatikan oleh Allah. Pada hari itu juga manusia dihisab amalannya, Hari Kiamat adalah sesuatu perkara yang benar sebagaimana benarnya bahawa setiap manusia akan mati. Al-Quran banyak menyebut tentang Kiamat itu sebagaimana yang disebut dalam surah al-Hajj:7 bermaksud:
“Dan sesungguhnya hari kiamat itu pasti akan datang, tidak ada keraguan padanya…”

Dalam ayat lain Allah berfirman:
“Dan tidaklah kami ciptakan langit dan bumi serta apa yang ada pada keduanya, melainkan dengan benar, dan sesungguhnya kiamat itu pasti akan datang, maka maafkanlah mereka dengan cara yang baik” (al-Hijr:85)

Remaja semua, mari kita fikir sejenak tentang tanda-tanda kecil menunjukkan hampirnya kiamat berdasarkan hadis sahih Nabi s.a.w dengan melihat realiti hidup kita serta kejadian berlaku pada manusia ketika ini.

Antara Tanda-Tanda Kecil Kiamat Berdasarkan Hadis:

Penaklukan Baitulmaqdis
Dari Auf b Malik r.a katanya, “Rasulullah s.a.w. telah bersabda: “Aku menghitung enam perkara menjelang Hari kiamat. “Baginda menyebutkan salah satu diantaranya, iaitu penaklukan Baitulmuqaddis.” (Sahih Bukhari)

Zina Berleluasa
“Dan tinggallah manusia-manusia yang buruk, yang sesuka hatinya melakukan persetubuhan seperti keldai. Maka pada zaman mereka inilah kiamat akan datang” (Sahih Muslim)

Alat-Alat Muzik Menjadi kebanggaan dan digilai
Pada akhir zaman akan terjadi tanah runtuh, rusuhan dan perubahan pada muka. Ada yang bertanya kepada Rasulullah “Wahai Rasulullah bila hal itu terjadi?” Baginda menjawab: “Apabila telah bermaharajalela muzik (bunyi-bunyian) dan ramainya penyanyi-penyanyi wanita” ( HR Ibnu Majah)

Menghias Masjid dan Membanggakannya
“Diantara tanda-tanda telah dekatnya kiamat ialah manusia bermegah-megah dalam mendirikan masjid” ( H.R Nasai)

Munculnya kekejian, Memutuskan Persaudaraan dan Bersikap Buruk Dengan Jiran
“Tidak akan datang kiamat sehingga banyak perbuatan dan perkataan keji, memutuskan hubungan silaturahim dan bersikap yang buruk dengan jiran” (H.R Ahmad dan Hakim)

Ramai Orang Soleh Meninggal Dunia
“Tidak akan datang hari kiamat sehingga Allah mengambil orang-orang yang baik dan ahli agama di muka bumi, maka tiada yang tinggal padanya kecuali orang-orang yang hina dan buruk yang tidak mengetahui yang makruf dan tidak mengingkari kemungkaran” ( H.R Ahmad)

Orang Hina Mendapat Kedudukan Terhormat
“Di antara tanda-tanda semakin dekatnya kiamat ialah dunia akan dikuasai oleh Luka’ bin Luka’ (orang yang bodoh dan hina). Maka Orang yang paling baik ketika itu ialah orang yang beriman yang diapit oleh dua orang mulia” (H.R Thabrani)

Mengucapkan salam Kepada Orang Yang Dikenali Sahaja
“Sesungguhnya di antara tanda-tanda telah dekatnya hari kiamat ialah manusia tidak mahu mengucapkan salam kepada orang lain kecuali yang dikenalinya sahaja.” (H.R Ahmad)

Ramai Wanita Berpakaian Tetapi hakikatnya telanjang
Diriwayatkan dari Abu Huraira r.a “Di antara tanda-tanda telah dekatnya hari kiamat ialah akan muncul pakaian-pakaian wanita dan apabila mereka memakainya keadaannya seperti telanjang”

Bulan Sabit Kelihatan Besar
“Di antara tanda-tanda telah dekatnya hari kiamat ialah membesarnya bulan sabit.” (H.R Thabrani)

Banyak Dusta dan Tidak Tepat dalam menyampaikan Berita
“Pada akhir zaman akan muncul pembohong-pembohong besar yang datang kepadamu dengan membawa berita-berita yang belum pernah kamu dengar dan belum pernah didengar oleh ibu bapa kamu sebelumnya, kerana itu jauhkanlah dirimu dari mereka agar mereka tidak menyesatkanmu dan memfitnahmu.” ( Sahih Muslim)

Banyak Saksi Palsu dan Menyimpan Kesaksian Yang Benar
“Sesungguhnya sebelum datangnya hari kiamat akan banyak kesaksian palsu dan disembunyikan kesaksian yang benar.” (Riwayat Ahmad)

Negara Arab menjadi Padang Rumput dan Sungai
“Tidak akan datang hari kiamat sehingga negeri Arab kembali menjadi padang rumput dan sungai-sungai.” (Sahih Muslim)

Demikianlah sebahagian daripada tanda-tanda kecil akan berlakunya hari kiamat. Marilah kita renungkan sejenak untuk menjadi panduan hidup. Hidup kita hanya sebentar sahaja di muka bumi ini, seharusnya hidup yang singkat ini kita isi dengan sesuatu yang berfaedah sama ada untuk diri sendiri, agama, bangsa mahupun negara. Andai kita seorang remaja, jadilah remaja yang bijak, baik hati, ingat Tuhan dan berbakti.

Thursday, April 24, 2008

Mana satu telefon anda?

Mana satu telefon anda?

Oleh KHAIRUL ANUAR ABD. RAHMAN

Masih mencari-cari telefon yang anda mahukan? Bacalah artikel ini.



KEBANYAKAN telefon mampu memainkan lagu, namun telefon yang mempunyai pemain muzik khusus didatangkan dengan beberapa ciri tambahan.

--------------------------------------------------------------------------------


HARI ini, keputusan untuk membeli sebuah telefon bimbit bukanlah satu tugas yang mudah. Pemilihan telefon bimbit lebih daripada sekadar memilih alat untuk membuat panggilan telefon sahaja.

Dengan gabungan ciri pemain multimedia, pembantu peribadi digital (PDA) dan kamera digital pada alat komunikasi suara tradisional, seolah-olah fungsi telefon telah jatuh ke nombor kedua berbanding fungsi tambahannya yang lain.

Sekiranya anda berkira-kira untuk membeli telefon baru, tanya pada diri sendiri: Adakah anda mencari telefon muzik, telefon berkamera atau telefon PDA? Kebanyakan telefon di pasaran mempunyai persamaan dari segi gabungan fungsinya, tetapi mengetahui telefon apa yang diinginkan memberikan perbezaannya.

Ini kerana anda memerlukan memori berkapasiti tinggi untuk telefon muzik bagi menyimpan koleksi lagu anda dan lensa beresolusi tinggi untuk telefon berkamera. Telefon PDA pula seharusnya mempunyai paparan yang besar untuk aplikasi seperti Word dan Adobe Reader.

Telefon muzik

Kebanyakan telefon mampu memainkan lagu, namun telefon yang mempunyai pemain muzik khusus didatangkan dengan beberapa ciri tambahan seperti kawalan pemain muzik yang lebih mudah, storan yang lebih besar dan bateri yang mempunyai jangka hayat lebih panjang.

Pilih sama ada anda inginkan telefon yang menyokong kad memori tambahan yang boleh dipenuhkan dengan album lagu anda mahupun memilih telefon yang mempunyai kapasiti besar bagi memenuhi kehendak hiburan anda.

Telefon seperti Sony Ericsson Walkman mempunyai ingatan sebesar 8GB yang cukup untuk menyimpan lebih daripada 2,000 judul lagu. Ini sesuatu yang lebih daripada mencukupi untuk kebanyakan penggemar muzik.

Telefon berkamera
Telefon berkamera dengan tiga megapiksel hari ini tidak lagi dianggap teknologi terkini. Sedikit hari lagi, kamera dengan resolusi lima megapiksel dianggap suatu kelaziman bagi golongan yang gemar merakamkan aksi spontan dengan telefon mereka.

Persoalannya, apakah ciri lain yang harus diambil kira selain resolusi? Sebelum membeli kamera digital, anda mungkin mahu mempertimbangkan ciri seperti ISO, flash binaan dalam, fungsi rakaman video dan imbangan putih atau white balance.

Percaya atau tidak, terdapat pengeluar telefon turut menyertakan fungsi seperti kamera digital biasa yang disebutkan ini.

Selain itu, penutup lensa merupakan sesuatu yang agak diabaikan oleh kebanyakan pengeluar telefon berkamera.

Hanya terdapat beberapa pengeluar telefon sahaja yang melengkapkan telefon mereka dengan penutup lensa atau lebih tepat lagi pelindung lensa.

Jadi, sekiranya anda seorang yang sering meletakkan telefon di merata-rata tempat atau menyimpannya di dalam beg dan bercampur dengan barangan lain, anda mungkin mahu mempertimbangkan ciri ini bagi mengelakkan lensa kamera kesayangan anda tercalar dan boleh merosakkan kualiti gambar yang diambil.

Telefon PDA
Telefon PDA dilengkapkan dengan fungsi utamanya iaitu pengurusan masa. Anda boleh meletakkan nota dan peringatan temujanji dengan klien bagi melancarkan tugas seharian anda. Sungguhpun telefon biasa hari ini turut dilengkapi dengan fungsi seakan ini, namun telefon PDA tetap menjadi pilihan golongan eksekutif dan profesional sebagai 'pembantu peribadi' mereka.

Telefon PDA hari ini tidak terbatas pada fungsi itu sahaja, malah dilengkapi dengan fungsi multimedia (yang turut menyebabkan jangka hayat bateri pendek). Terdapat juga model yang didatangkan dengan fungsi GPS, membolehkan pemiliknya menentukan kedudukan di muka bumi.

Ciri-ciri tambahan

Fungsi sokongan tambahan seperti bluetooth, 3.5G dan inframerah merupakan ciri sokongan tambahan selain yang lazim ditawarkan. Tanya diri anda sendiri sama ada anda benar-benar memerlukannya.

Kebanyakan telefon moden hari ini didatangkan dengan fungsi 3G, dan terdapat juga model yang menyokong capaian generasi 3.5. Namun fungsi seperti ini tidak akan bermakna jika tidak digunakan.



KAMERA dengan resolusi lima megapiksel dianggap lazim bagi mereka yang gemar merakamkan aksi spontan.

--------------------------------------------------------------------------------


Sekiranya anda memiliki komputer riba yang mempunyai sambungan bluetooth, anda mungkin mahu mendapatkan telefon yang mempunyai ciri ini bagi memudahkan interaksi di antara telefon dengan komputer sama ada untuk tujuan penyelarasan mahupun pemindahan fail-fail lagu.