Monday, June 11, 2007

Satu Keluarga Satu Kaunselor

1 keluarga 1 kaunselor

KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sedang merancang melaksanakan program SKSK iaitu satu keluarga satu kaunselor bagi menangani masalah sosial ahli keluarga, termasuk anak-anak.

Setiausaha kementerian terbabit, Datin Paduka Chew Mei Fun yang juga ahli Parlimen Petaling Jaya (PJ) Utara berkata, dalam program ini, seorang anggota keluarga akan dilatih menjadi kaunselor untuk ahli keluarganya yang lain.

Menurutnya, program berkenaan bertujuan memastikan setiap ahli keluarga dapat bekerjasama menangani masalah mereka bersama.

“Apabila seorang ahli sesebuah keluarga mempunyai masalah, bapa atau ibu yang menjadi kaunselor keluarga itu boleh membantu anggota terbabit menyelesaikan masalah mereka,” katanya pada sidang media Kem Kesihatan Keluarga PJ Utara.

Chew berkata, kaunselor keluarga itu juga dapat mengurangkan masalah sosial dalam keluarga berikutan setiap ahli akan mencari jalan penyelesaian terbaik dan sentiasa mengambil berat masalah setiap anggota keluarga.

Menurutnya, program berkenaan juga boleh menangani salah laku anak-anak yang bermasalah apabila semua keluarga mempunyai seorang kaunselor yang akan diberi latihan oleh pakar kaunseling bertauliah.

Bagaimanapun, katanya, kementeriannya masih membuat persediaan untuk melaksanakan program terbabit di seluruh negara dalam tempoh terdekat.

Sementara itu, mengulas mengenai lima siri kem terbabit yang akan diadakan di beberapa kawasan Parlimen PJ Utara, beliau berkata, ia bertujuan meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai kepentingan menjaga kesihatan serta memupuk hubungan keluarga yang erat.

No comments: